Monday, 31 March 2014

Tip simpan makanan di dalam peti sejuk

SESIAPA sahaja jika anda mempunyai peti sejuk yang cantik dan mahal tetapi tidak arif tentang penggunaannya. Peti sejuk dibuat untuk kemudahan pengguna. Terdapat beberapa bahagian tertentu yang boleh anda manfaatkan sepenuhnya untuk menyimpan makanan supaya lebih segar dan tahan lebih lama. Jika anda mahu menyimpan makanan yang telah dimasak untuk dimakan, umpamanya keesokan hari, pastikan makanan itu dimasukkan ke dalam bekas dan ditutup dengan rapi supaya aroma makanan tidak bercampur dengan makanan lain yang akan menyebabkan bau tidak enak apabila peti sejuk dibuka. 

Jika makanan mahu disimpan lebih lama, pastikan anda menyimpan di bahagian beku peti sejuk. Catatkan tarikh anda mula menyimpan makanan yang dimasak supaya anda dapat memantau berapa lama makanan itu telah disimpan. 

Periksa tarikh luput pada bungkusan makanan yang disimpan terutama susu, keju, krim, jem dan bahan mentah seperti daging dan makanan laut. Sebaik-baiknya susun makanan yang mempunyai tarikh luput yang lebih awal di bahagian hadapan supaya ia boleh digunakan dahulu. Bahan makanan yang disimpan dengan baik dan betul bukan sahaja kesegarannya terjamin malah menjimatkan perbelanjaan anda.

 Adakah makanan yang lepas tarikh luputnya masih boleh dimakan? Menurut Cef Rizal Alkhatib, cef dan juga pemilik restoran Badoque, tarikh luput yang diletakkan pada bungkusan makanan hanya sebagai panduan. Sebenarnya makanan yang sudah lepas tarikh luputnya masih boleh dimakan melainkan rasa dan warnanya berubah. Umpamanya keju, ia masih boleh dimakan tiga hingga enam bulan selepas tarikh luputnya. Jika keju bercendawan, anda hanya perlu mengikis dan buangkan bahagian yang bercendawan sahaja. 

Begitu juga dengan bahan bijirin seperti beras, barli, dal dan sebagainya. Bahan-bahan ini telah pun melalui proses 'rawatan' ultra-ungu yang membolehkan ia bertahan lebih lama terutama jika disimpan dalam peti sejuk walaupun tarikh luputnya berlalu. Berikut beberapa panduan menyimpan makanan di dalam peti sejuk. 

TELUR: Harus disimpan dengan suhunya lebih konsisten seperti di tengah-tengah peti sejuk. Jangan keluarkan telur daripada kartonnya. 

SUSU: Jika disimpan di tempat yang kurang sejuk, susu mudah rosak lebih awal daripada tarikh luputnya. Bergantung kepada jenis peti sejuk, susu harus disimpan sama ada di rak paling atas atau rak paling bawah di sebelah belakang sekali di mana suhunya paling sejuk. 

YOGURT DAN KRIM: Seperti susu, bahan-bahan ini juga harus disimpan di bahagian paling sejuk. 

DAGING MENTAH: Mesti disimpan di bahagian beku peti sejuk. Pastikan bungkusan atau bekas yang berisi daging ditutup dengan ketat supaya daging tidak disaluti air batu. Daging beku ini boleh dikeluarkan daripada bahagian beku pada malam hari kemudian disimpan dalam chiller jika mahu menggunakannya beberapa jam kemudian. Ini memudahkan daging dinyahbeku. 

SAYUR-SAYURAN: Sayur-sayuran akan bertahan lebih lama dengan adanya kelembapan. Jika peti sejuk anda mempunyai kotak menyimpan sayur, gunakannya. Simpan sayur dalam bungkusan asalnya atau alihkan ke dalam beg plastik. Sayur harus disimpan tanpa dicuci kerana air akan menyebabkan sayur mudah bercendawan dan menyebabkan bakteria membiak. 

BUAH-BUAHAN: Harus disimpan di bahagian kelembapan paling rendah. Simpan dalam bungkusan asalnya atau alihkan ke dalam beg plastik (buah sitrus tidak perlu disimpan dalam beg). Sama seperti sayur, buah-buahan tidak harus dicuci sebelum disimpan. 

MENTEGA DAN KEJU: Tidak perlu disimpan di bahagian paling sejuk. Memadai diletakkan di tempat yang dikhaskan lazimnya di bahagian pintu.

 KONDIMEN (BAHAN PERASA): Bahan yang mempunyai kandungan tinggi cuka dan garam, iaitu pengawet asli. Sos tomato, mayones, acar dan jenis minyak salad seperti minyak walnat dan minyak bijan harus disimpan dalam peti sejuk di bahagian pintu. Buah zaitun dan minyak sayur boleh dibiarkan di dalam almari.

 JUS : Jus segar harus disimpan di bahagian paling sejuk tetapi jus yang melalui proses pempasteuran boleh disimpan di bahagian pintu peti sejuk. - 

See more at: http://beritaharian.

No comments:

Post a Comment