Tuesday, 1 April 2014

Tips memilih bra ketika mengandung



Tatkala mengandung, akan berlaku perubahan pada saiz dan bentuk payudara seseorang. Ini kerana sewaktu mengandung buah dada membina  tisu-tisu yang lebih banyak untuk memuatkan kelenjar-kelenjar susu.

Terdapat pelbagai jenis baju dalam untuk wanita-wanita mengandung atau yang sedang menyusukan, dan memilih satu yang sesuai untuk anda boleh jadi sukar. Pemakaian bra semasa mengandung atau menyusukan adalah pilihan peribadi seseorang. Walau bagaimanapun, memakai bra yang memberi sokongan boleh mengurangkan penarikan tisu yang boleh menyebabkan buah dada menjadi kendur. Wanita yang mempunyai buah dada yang besar secara amnya akan berasa lebih selesa memakai bra.

S: Bila harus saya memakainya?

Masa yang sesuai untuk memakai bra mengandung adalah berbeza dari seorang wanita ke wanita yang lain dan tidak ada masa yang tetap bagi setiap orang. Buah dada akan mula bersedia menghasilkan susu pada awal kandungan dan bagi sesetengah wanita, buah dada mereka akan membesar lebih awal daripada wanita yang lain. Secara amnya, perubahan akan berlaku sekitar empat bulan (16 minggu kandungan) dan inilah masanya mencari bra mengandung, jika belum mula memakainya.


S: Benarkah saya tidak boleh menggunakan bra berdawai?

Ramai wanita suka memakai bra berdawai, dan mereka keliru apabila diberitahu bra  sebegini tidak digalakkan dipakai ketika mengandung atau semasa menyusukan. Sebabnya, sekali lagi, ianya kerana bentuk buah dada anda sedang berubah. Semasa menyusukan anak, saiz buah dada boleh bertambah atau berkurangan pada waktu siang, kerana susu sedang dihasilkan dan dikeluarkan.

Pengumpulan cecair pada akhir kandungan juga boleh menyebabkan buah dada membengkak. Walaupun sedikit sahaja perubahan saiz berlaku, bra berdawai yang keras boleh menekan buah dada yang sedang membesar. Tekanan ini boleh menyebabkan saluran susu atau mastitis tersekat dan oleh seba itu bra berdawai yang tidak fleksibel tidak disyorkan. Walau bagaimanapun, sekarang terdapat bra penyusuan yang mempunyai sokongan plastik yang fleksibel yang hampir sama dengan dawai. Ia direka untuk mengembang dan bertukar kedudukan, sejajar dengan perubahan bentuk  buah dada.


S:  Perlukah beli bra yang berasingan untuk penyusuan?

Bra yang direka untuk wanita mengandung juga boleh digunakan oleh wanita yang menyusukan. bra mengandung dan bra menyusukan sebenarnya adalah sama. Semasa mencuba jenis-jenis yang berlainan, jangan lupa buka dan tutup cawannya. Kebanyakan bra boleh dibuka untuk menyusukan dan sesetengahnya lebih mudah digunakan daripada yang lain. Carilah bra yang boleh dibuka keseluruhan cawannya, berbanding dengan jenis "pintu bumbung" yang boleh menekan buah dada semasa penyusuan. Ada juga jenis bra yang mempunyai kancing dihadapan dan bahu.


S: Perlukah saya memakai bra semasa tidur?

Sama ada memakai bra atau tidak semasa tidur, ia adalah pilihan individu. Ada wanita yang merasakan mereka memerlukan sokongan sepanjang masa, ada pula yang tidak selesa memakai bra. bra malam yang khas boleh didapati, atau anda boleh juga memakai bra yang terbuka di hadapan atau bra lembut yang lain.


S: Bagaimana menjaganya?


Dapatkan sekurang-kurangnya dua atau tiga pasang bra. Memandangkan susu anda kadangkala meleleh, anda perlu menukar bra lebih kerap daripada biasa. Bra seharusnya dibasuh dengan tangan dan dengan sedikit sabun. Anda tidak perlu merendamnya dalam peluntur atau cecair berubat kerana ini akan melemahkan fabrik dan boleh menyebabkan kegatalan kulit. Jika anda menjaga bra dengan baik, ia boleh bertahan sepanjang anda mengandung dan beberapa bulan selepas itu

No comments:

Post a Comment